Mukim Pengerang seluas 18,395 hektarterletak di kawasan Parlimen Pengerang dan Dewan Undangan Negeri Tanjung Surat. Kira-kira 35,000 penduduk dengan majoriti berbangsa Melayu mendiami pelbagai kampung di mukim ini. Mukim Pengerang mempunyai enam buah kampung utama dan lebih daripada 10 buah kampung kecil atau disebut sebagai kampung-kampung rangkaian.

Dari sudut geografi, kedudukan Pengerang kira-kira 14 kilometer dari Pekan Sungai Rengit, 84 kilometer dari Kota Tinggi 48 kilometer dari Pusat Peranginan Desaru dan sejauh 430 kilometer dari Bandar Raya Kuala Lumpur. Ia boleh dihubungi melalui jalan raya Johor Baharu – Ulu Tiram – Kota Tinggi – Sungai Rengit atau dari Bandar Muadzam, Pahang melalui Mersing –Teluk Ramunia– Sungai Rengit. Pekan terdekat ialah Pekan Sungai Rengit manakala bandar utama yang paling hampir ialah Kota Tinggi sebagai daerah pentadbiran dan Bandar Penawar.

Tidak ramai yang mengetahui, Mukim Pengerang, Johor diberi jolokan “Lokasi Di Hujung Benua Asia” atau tip of the continent kerana kedudukannya yang paling hujung diMalaysia dan juga di negeri Johor. Sebagai maklumat, Tanjung Piai pula dikatakan “Hujung paling selatan di Asia” (Southern tip of the Continent of Asia). Pengerang, sebuah mukim dan perkampungan Melayu kini menerima pelbagai kemajuan terletak di tepi pantai di Tenggara Johor. Pengerang juga bersempadan negara Jiran, Singapura yang hanya beberapa kilometer sahaja dipisahkan oleh Laut China Selatan.Terletak dalam daerah Kota Tinggi, ia ditadbir oleh Majlis Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Daerah dan Tanah Kota Tinggi.