PRODUK TEMPATAN SEKITAR PENGERANG

 

 

INFO SEJARAH

KOTA TINGGI 23 Dis. 2009 - Tidak lengkap kalau menyediakan sambal tumis, asam pedas atau kuah laksa tanpa meletakkan belacan kerana bahan itulah yang akan menyedapkan lagi makanan tersebut.

Walaupun baunya kurang enak, belacan yang diperbuat daripada udang atau ikan kecil yang ditumbuk lumat itu amat penting dalam sesetengah masakan.

Salah seorang pengusaha belacan yang terkenal di daerah ini adalah Saban Ahmad, 62, yang menjual belacan menerusi Perniagaan Keluarga Saban.

Menurutnya, perusahaan belacan tersebut diwarisi daripada ibunya yang memulakan penghasilan belacan sejak tahun 60-an di Kampung Laut, Bukit Raja di sini.

"Saya ambil alih perniagaan ibu sejak tahun 1988. Buat belacan ini nampak sahaja mudah, tapi kalau tidak kena gaya, belacan boleh berkulat dan tidak tahan lama.

"Setakat ini saya hanya membuat dua jenis belacan iaitu belacan hitam daripada campuran udang dan ikan manakala belacan merah daripada udang geragau," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Saban memberitahu, dia memerlukan kira-kira 100 kilogram udang atau ikan untuk sekali proses pembuatan belacan dan bekalan tersebut diperoleh daripada nelayan Sungai Rengit dan Sungai Kapal, Mersing.

Setiap bulan dia akan menyediakan kira-kira 800 kilogram belacan yang disimpan di dalam tong plastik besar.

"Udang perlu digaul dengan garam dan kemudian diperap semalaman sebelum dijemur dari pukul 10 pagi hingga 4 petang sebelum proses menumbuk.

"Apabila musim hujan saya bermasalah untuk menjemur belacan dan sebab itulah saya menggunakan ketuhar yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya yang telah memasarkan belacannya hingga ke Singapura.

Saban berkata, belacan menjadi bertambah sedap jika udang ditumbuk dengan alu sehingga halus.

Katanya, selepas dijemur dan ditumbuk, proses untuk membentuk saiz perlu dilakukan.

Dalam sebulan, Saban berjaya menjual kira-kira 3,000 keping belacan termasuk 600 keping dipasarkan ke Singapura.

"Sesiapa yang pernah merasa belacan buatan saya pasti datang kembali. Satu saja saya pesan, kalau yang membeli belacan merah iaitu dalam bekas plastik, jangan sesekali membiarkannya terkena air.

"Pastikan belacan disenduk dengan sudu kering dan kemudian simpan di dalam peti sejuk," nasihatnya.

Untuk menjalankan perniagaan tersebut, Saban dibantu oleh dua isterinya, Siti Haryati Mahmud, 51, dan Aisyah Md. Said, 52.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm#ixzz3umcW2mOw 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

KEDAI SANTAN NOI

 

Kedai Santai Noi yang telah diusahakan oleh penduduk Pengerang iaitu Pn.Noriah Binti Abd Syukor yang mana beliau telah membuat perkhidmatan seperti menjual santan segar dan kelapa parut serta beliau juga mengambil tempahan santan segar dan kelapa parut untuk majlis keramaian dan perkahwinan. Selain itu, beliau juga menyediakan khidmat penghantaran bagi pelanggannya. Segala maklumat untuk mendapatkan produk tempatan ini boleh hubungi nombor dan alamat yang tertera di atas gambar tersebut.