Mohamad Fikri Bin Yaacob merupakan seorang graduan daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dalam bidang Seni Kulinari. Anak ke lima daripada Sembilan orang adik beradik ini bertugas sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama hampir 8 tahun. Namun begitu, minat mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan beliau menjinakan diri dalam beberapa perniagaan kecil-kecilan secara sambilan. Bermula dengan titik tolak berniaga pakaian di pasar malam beliau nekad untuk terus berusaha walaupun beberapa kali gagal dalam perniagaan. Beliau pernah menjual kasut sukan, sabun pakaian, catering dan kini sedang dalam proses membuka kedai makanan sejuk beku di Kelantan dengan usahasama rakan kongsi beliau.

     Memandangkan beliau mempunyai kemahiran dalam bidang masakan, beliau mengambil peluang dan ruang yang ada di kawasan Pengerang untuk mengusahakan jualan makanan (catering) pada masa lapang. Semua sedia maklum bahawa Pengerang sedang membangun melalui Projek Rapid. Justeru, perniagaan catering merupakan pilihan beliau yang tepat dalam meningkatkan ekonomi keluarga, memantapkan kemahiran memasak dan mengisi masa terluang dengan minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan. 

     Pusat Internet Kg Masjid merupakan platform permulaan beliau dalam bidang catering. Melalui Pusat Internet Kg Masjid, perniagaan beliau mula berkembang secara perlahan-lahan. Kakitangan Pusat Internet Kg Masjid membantu dari segi pembuatan flyers dan strategi pemasaran. Daripada aspek pembuatan flyers, beliau banyak belajar melalui kelas Latihan Adobe Photoshop yang diadakan oleh petugas di PI Kampung Masjid.

     Manakala daripada aspek pemasaran pula beliau banyak menggunakan perkhidmatan internet di Pusat Internet untuk memperluaskan lagi perniagaannya terutamanya dari segi hebahan dan juga maklumat terkini mengenai produk perniagaannya melalui mediasosial seperti Facebook. Selain itu, program keusahawanan seperti Program Pengendalian Makanan yang diadakan di PI Kampung Masjid juga telah turut disertai oleh beliau.

     Walaupun perniagaan secara sambilan (hujung minggu) namun, usaha beliau membuahkan hasil apabila beliau kini mampu menjana pendapatan sampingan dalam lingkungan Rm200.00-Rm300.00 sebulan.